29 May 2009

Jangan terheret dengan permainan musuh - Salahudin Ayub

KUALA LUMPUR, "Ulama menjadi teras kepimpinan PAS. Profesional sebagai tiang seri manakala aktivis parti pula sebagai paksi perjuangan. Salah satu patah, PAS akan tumbang. Bermakna janganlah kita terheret kepada permainan musuh untuk memisahkan kita."

Demikian petikan kata-kata peransang Ketua Pemuda PAS yang mengakhiri khidmat secara rasminya pada Muktamar Jun depan, Salahuddin Ayub berhubung kekuatan PAS selama ini mendepani cabaran dan asakan musuh daripada luar.

Katanya Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah menjelaskan dalam ucapan akhir dalam seminar, Jubli Perak Ulama di Taman Mewar tempoh hari bahawa tidak ada satu bentuk dikotomi antara ulama dan bukan ulama.

"Saya percaya dan yakin, kepimpinan ulama mesti terus dan diperlukan dalam parti. Dikotomi itu tidak perlu wujud.

"Insya-allah PAS akan kukuh, dan tidak ada sesiapa dalam PAS yang akan melakukan kerja-kerja jahil untuk meminggirkan kepimpinan ulama ini," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Harakah di pejabat media itu petang semalam.

Dalam pada itu, beliau juga berharap anasir tidak sihat yang dimainkan oleh musuh tidak menular ke dalam sayap kanan parti itu dan mahu Pemuda PAS terus tampil sebagai wadah yang mempunyai agenda, gagasan dan idealisme yang segar untuk terus berada di hati rakyat pelbagai lapisan di samping membela isu-isu rakyat dan masalah sejagat.

"Jangan rosakkan Pemuda PAS dengan panggilan dan label-label yang dilemparkan oleh musuh kita tetapi tampil dengan pemikiran yang segar, kuat dan kontemporari," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian.

from Harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment