02 June 2009

GOTONG ROYONG PERDANA DPPKG



Sekalipun telah dua tahun ditinggalkan sebagai Pejabat Agong PAS Pusat semenjak pertengahan tahun 2007 lalu, Markaz Tarbiyah PAS yang terletak di Taman Melewar tetap di hati pemuda-pemuda PAS Gombak.

Itulah semangat yang dapat digambarkan di dalam gotong-royong perdana yang diadakan di markaz tarbiyah berkenaan pada Ahad lalu, 31 Mei 2009.

Dengan penglibatan kira-kira 50 tenaga pemuda, Dewan Pemuda PAS Gombak ”menggempur” Dewan Dato’ Fadzil Noor untuk persiapan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan diadakan pada Rabu dan Khamis ini.

Dewan yang diabadikan sempena dengan nama bekas presiden PAS yang ke-enam, Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor yang memimpin PAS semenjak 1988 sebelum menghembuskan nafas pada 2002, menjadi saksi jatuh bangun PAS terutama di dalam era kepimpinan ulama kira-kira selama 20 tahun.

PAS dan Taman Melewar sudah menjadi semacam sinonim.



Sebut sahaja Taman Melewar orang akan ingat kepada PAS, dan begitu juga apabila sebut sahaja PAS automaik akan disinonimkan dengan Taman Melewar, sehinggakan perkataan ”TM” menjadi kod kepada markaz PAS itu

Bagai sireh pulang ke gagang, itulah yang diibaratkan kepada Muktamar Pemuda PAS Pusat yang dijadualkan berlansung di tempat bersejarah itu pada 3 dan 4 Jun ini.

Kali terakhir muktamar pernah diadakan di dewan bersejarah ini adalah pada tahun 2003, kali pertama jawatan Presiden terpikul secara rasminya di bahu Tuan Guru Haji Dato’ Sri Abdul Hadi Awang, selepas memangkunya selama kira-kira setahun selepas pemergian Dato’ Sri Fadzil Noor.

Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kini dan terus mendapat mandat sekurang-kurangnya sehingga 2011 selepas 4 kali memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

Selepas kira-kira enam tahun program sebesar muktamar tidak pernah diadakan di sini, Pemuda PAS Pusat ”kembali ke gagang” apabila menggunakannya untuk muktamarnya.

Ia dibuat ketika PAS dan Pakatan Rakyat menguasai hampir separuh semenanjung Malaysia selepas pasca-tsunami PRU 13, dan ketika sayap-sayap lain memilih ibu negeri Selangor, Shah Alam untuk mengadakan sidang muktamar.

Dewan Pemuda PAS mengambil arus yang agak berbeza, dengan memilih markaz yang ditinggalkan semenjak pertengahan 2007 lalu apabila Pejabat Agong PAS Pusat berpindah ke bangunan baru di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Difahamkan Dewan Ulama’ PAS akan bermuktamar Auditorium Muzium Alam Shah, Shah Alam manakala Dewan Muslimat PAS pula akan bermuktamar di Dewan Banquet, Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kedua-duanya pada 4 Jun 2009 (Khamis).

Muktamar Agong PAS Pusat pula dijadualkan akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5, 6 dan 7 Jun 2009.

No comments:

Post a Comment