02 September 2009

Kejayaan 'Spiderman' menakluk Menara Petronas cemar sistem keselamatan negara

Parti Islam Se-Malaysia mengambil pandangan yang serius terhadap tindakan Alain Robert, 'Spiderman' dari Perancis yang berjaya menakluk Menara Petronas pagi semalam (1 September 2009) tanpa diketahui oleh pengawal keselamatan, termasuklah pihak Polis.

Mungkin ia adalah satu catatan peribadi yang manis buat 'Spiderman' itu, tetapi hakikatnya ia adalah satu perkara yang memalukan buat sistem keselamatan Malaysia. Mujurlah dia hanya memanjatnya untuk jadi terkenal dan bukannya ingin memasang bom atau kamera pengintip.

PAS mengingatkan rakyat dan kerajaan Malaysia bahawa ini bukanlah kali pertama premis negara kita di cerobohi tanpa pengetahuan pihak keselamatan pada tahun ini. 4 Julai lalu, mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinawatra yang dikehendaki dinegaranya, berjaya melepasi sistem keselamatan negara di Lapangan Terbang Sultan Abd Aziz, Subang dengan begitu mudah.

Thaksin adalah seorang VIP, tapi Spiderman ini bukanlah VIP. Sewajarnya pihak Polis yang tahu beliau berada dinegara ini lebih awal membuat pemantauan memandangkan kehadirannya beliau dua kali sebelum ini mempunyai kaitan dengan niatnya memanjat Menara Petronas.

Rakyat pastinya bimbang dengan jaminan keselamatan dalam negara selepas tragedi ini. Ancaman dari luar boleh masuk bebas tanpa diketahui. Oleh itu PAS mengesa agar pihak Keselamatan Negara mengambil sikap yang serius dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara ini kelak.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment